Tuesday 17 March 2015

Peranan CCIG dalam industri kreatif? sumber Sinar Harian

CCIG? Pasti ramai yang tertanya-tanya apakah itu Gabungan Industri Kandungan Kreatif (CCIG). Dan apa pula peranannya dalam industri hiburan. Secara ringkasnya, CCIG adalah merupakan persatuan baru yang ditubuhkan khas bagi objektif tertentu.

Persatuan? Mendengar perkataan ini, pastinya kita membayangkan lambakan persatuan yang sedia ada dalam industri. Antaranya Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) , Persatuan Industri Rakaman Malaysia (Rim), Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim), Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profi ma). Itu belum lagi persatuan picisan yang bagaikan 'hidup segan, mati tak mahu'.

Berbalik kepada CCIG, persatuan ini diterajui Jurey Latiff Rosli, yang sememangnya cukup terkenal sebagai 'orang kuat' industri. Juga merupakan presiden Gafi m, Jurey punya misi tersendiri dalam menyahut saranan kerajaan yang mahukan sebuah badan NGO memfokuskan usaha dalam meningkatkan profesionalisme modal insan industri kandungan kreatif di negara ini.

Turut diterajui 14 ahli majlis yang dilantik berdasarkan pengalaman, penglibatan serta kepimpinan cemerlang dalam pelbagai cabang seni, persatuan ini diharapkan dapat memberikan input dan perubahan positif terhadap industri kreatif negara. 


Ikuti temu bual Zass bersama Jurey mengenai fungsi dan hala tuju persatuan baru ini;


ZASS: Boleh jelaskan sejauh mana fungsi CCIG dalam meningkatkan industri kreatif tempatan?


Jurey: CCIG berfungsi meningkatkan profesionalisme modal insan dalam industri kreatif di negara ini seperti yang diinginkan pihak kerajaan. Antara misi persatuan termasuklah membantu meningkatkan kualiti pengamal industri kreatif, meningkatkan pendapatan negara, memastikan produk industri kreatif berkualiti dan diiktiraf dengan membantu mereka menembusi pasaran Nusantara dan antarabangsa. Persatuan ini mendapat dana sepenuhnya daripada kerajaan menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).


ZASS: Siapakah yang layak menyertai persatuan ini dan bagaimanakah cara untuk menjadi ahli?


Jurey: Keahlian CCIG adalah terbuka kepada semua individu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung di dalam industri kreatif. Termasuklah, mereka yang terlibat di belakang tabir sama ada dalam bidang lakonan, muzik, pengarahan, penerbitan mahu pun pereka grafik. Penyertaan juga terbahagi kepada empat kategori, ahli biasa, bersekutu, kehormat dan remaja. Setiap penyertaan harus menghantar borang mengikut kategori dan proses kelulusannya mengambil masa selama dua minggu.


ZASS: Adakah CCIG turut berperanan memberikan perlindungan kepada ahliahlinya? 


Jurey: Sama seperti fungsi kami, dalam meningkatkan kualiti industri kreatif, secara tidak langsung kami turut mengambil berat terhadap ahli. Sudah menjadi matlamat utama persatuan ini untuk membela nasib ahli-ahli yang ditindas. Kebajikan ahli sudah menjadi tanggungjawab kami dan ini dikira daripada segi hak pekerja, perundangan dan sokongan karier.


ZASS: Kita sedia maklum, penggiat seni sering berdepan dengan pelbagai masalah. Bagaimana pula dengan peranan CCIG dalam membantu nasib mereka?


Jurey: Kita sering mendengar pelbagai rungutan daripada penggiat industri kreatif. Jika sebelum ini mereka tiada tempat mengutarakan masalah, dengan kewujudan persatuan ini, Insya-Allah sedikit-sebanyak akan membantu mereka.


Sebagai contoh, dari segi pembayaran. Pernah berlaku krew yang terlibat dalam penggambaran tidak diberikan bayaran setimpal daripada pihak produksi. Jadi, di sinilah peranan CCIG sebagai orang tengah atau pun perantara untuk menyelesaikan masalah terbabit. Bukan sahaja daripada segi bayaran malah pihak persatuan turut membantu ahli-ahli ini diiktiraf dalam industri kreatif sama ada di peringkat tempatan atau antarabangsa. Kita juga menyediakan pelbagai latihan profesional serta kursus jangka masa pendek dengan yuran berdiskaun atau percuma melalui kerjasama institusi pendidikan yang terpilih.


ZASS: Apakah keistimewaan lain CCIG?


Jurey: Apabila penggiat seni menjadi ahli bertauliah, pelbagai keistimewaan bakal mereka peroleh. Selain berpeluang mendapat imbuhan yang lebih tinggi, mereka juga berpeluang mengeksport produk ke luar negara. Bahkan, kami turut menyediakan perkhidmatan guaman kepada ahli yang diberi secara percuma bagi hal yang melibatkan undang-undang.


ZASS: Apakah jaminan yang mampu diberikan?


Jurey: Kami tidak mampu memberikan jaminan sepenuhnya, namun menerusi usaha ini kami akan cuba memastikan ahli mendapat imbuhan yang setimpal. Contohnya, setiap bayaran terhadap produk yang dikeluarkan akan lebih tinggi. Bagaimanapun, ia bergantung kepada kualiti kerja mereka.


ZASS: Sebagai 'orang kuat' industri, anda pernah berdepan dengan pelbagai kontroversi, tidakkah ia akan menjejaskan persatuan baru ini?


Jurey: Bagi saya, ia tidak pernah menjadi persoalan dalam menerajui persatuan ini. Meski pun terlibat dengan beberapa isu sebelum ini, ia bukan menjadi alasan dalam mempertikaikan kredibiliti CCIG. Malah, sokongan penggiat seni dapat dilihat dengan adanya 400 ahli berdaftar sejak persatuan ini ditubuhkan. Pada masa sama, Presiden Rim, Norman Abdul Halim juga bakal menyertai persatuan ini.


ZASS: Harapan terhadap persatuan ini?


Jurey: Hala tuju persatuan ini masih jauh, bagaimana pun, saya berharap persatuan ini mendapat kepercayaan daripada penggiat seni kreatif. Walaupun baru membuka langkah pertama, tetapi saya yakin ia mampu memberi perubahan kepada industri ini.


No comments:

Post a Comment